Pages

Tuesday 21 April 2020

Transit di Istanbul

Walau hati masih ragu-ragu, dengan hati nekad dan bertawakkal kepada Allah, saya akhirnya membeli tiket dan terbang ke Switzerland.

Saya fikir alang-alang akan transit di Turki, baik ambil pakej Tour Istanbul sekali. Pakej ini diberi percuma untuk yang menaiki penerbangan Turkish Airline dan transit melebihi 6 jam.

Musim sejuk, suhu 3 darjah Celcius. Ini adalah kali pertama saya terbang jauh. Jika tidak kerana menerima tawaran belajar ke luar negara, mungkin kapal terbang pun saya tak mampu nak naik.

Perjalanan ini sangat menarik. Pengalaman kali pertama terbang jauh merentasi lautan dan pergunungan. Ketika berada di lapangan terbang Istanbul, saya mengalami masalah mencari pintu keluar. Pejabat Tour Istanbul berada di penghujung sekali. Di dalam bas pemandu bas menceritakan sejarah Turki.

Lawatan sebegini sangat berbaloi bagi yang mencintai sejarah.

Wednesday 12 February 2020

Pilihan

Waktu di depan yang bakal dijalani lebih singkat berbanding waktu di belakang. Entah berapa lama sahaja peluang yang masih berbaki. Akhir-akhir ini, banyak sekali pesan kematian yang diterima. Ia buat saya risau bukan main. Yang pergi pula usianya masih muda, tanpa penyakit. Meninggal dunia ketika tidur.
Masa berlalu dengan sangat cepat, sehingga tak terasa setahun sudah berlalu. Untuk perancangan Ph.D, saya sedar tiga tahun adalah tempoh yang sangat singkat. Berbaloikah saya habiskan tempoh itu untuk Ph.D? Stres, tanggungjawab dan taktahu pula cabaran apa yang bakal diterima.
Atau lebih baik saya gunakan sahaja masa berbaki untuk tambah amalan akhirat? Tetapi bukankah ada hadis Rasulullah SAW, bahawa sesiapa yang mencari ilmu, Allah permudahkan jalan ke syurga.
Kenapa saya nak sangat sambung belajar pada awalnya? Kerana saya inginkan nilai. Rasa tawakkal pada Allah. Saat kita sedar yang kita bukan sesiapa pun di dunia ini. Rasa diri ni sangat lemah, kebergantungan semata-mata kepada Allah. Saya suka rasa itu. Benar-benar kenal diri, kenal Tuhan, cari tujuan hidup. Saya ingin jadikan hidup ini bererti. Memberi inspirasi kepada orang lain pula selepas itu.
Moga Allah tunjukkan jalan yang terbaik. Benar, saya sangat ingin belajar. Namun cabaran sejak awal tak mudah. Ia membuatkan saya berkali-kali kembali memperhalusi niat.

Tuesday 17 December 2019

Biografi Sarjana Muslim Timur Tengah Abad 19 dan 20

Buku ini menghidangkan kisah dan perjalanan tokoh-tokoh pada abad ke-19 dan 20. Pengorbanan, keteguhan hati dan iman dalam menuntut ilmu serta berdakwah menjadikan mereka contoh tauladan sepanjang zaman.



  1. Muhammad Badaruddin - Pembina Madrasah Hadis Zaman Moden di Syria

  • Mempunyai akhlak yang mulia, lidahnya sentiasa bercakap benar dan berani menyatakan kebenaran.
  • Mengembara bagi tujuan menuntut ilmu di Hijaz, Mesir, Iraq dan Syam.
  • Bercakap sedikit dan banyak berdiam.
  • Tidak bercakap kecuali memberi nasihat, mengajar dan berzikir.
  • Menjaga lidah dari menjatuhkan maruah orang lain dan tidak pernah mengumpat.
  • Tidak menguatkan suara kecuali ketika mengajar.
  • Warak dan tawaduk.
  • Jarang mengeluarkan fatwa, ketika ditanya, beliau hanya memberikan tajuk buku atau halaman untuk dirujuk.
  • Suka menziarahi orang miskin, anak yatim dan orang yang dipenjara.
  • Hanya mengajar di madarasah atau biliknya dan tidak suka majlis besar-besaran.
  • Tidak pernah memasuki istana atau parlimen, pemerintah yang berjumpa dengannya.
  • Memuliakan tetamu dan akan memberikan sesuatu kepada mereka terutama yang datang dari jauh.
  • Suka menziarahi orang-orang soleh dan orang bukan Islam.
  • Istiqamah dalam berpegang kepada syariat dan menjaga majlisnya dari perkara yang melalaikan.
  • Mengasingkan diri selama 7 tahun bagi tujuan menuntut ilmu, mengarang dan beribadat.
  • Menghafal sahih al-Bukhari dan sahih Muslim beserta sanad-sanadnya. Banyak menghafal terutama ilmu hadis.
  • Tidak melalui jalan pasar kerana bimbang akan terserempak dengan wanita yang tidak menutup aurat.
  • Ilmu Allah tidak akan sampai melalui pembacaan dan pengajian semata-mata tetapi juga melalui ketakwaan dan ibadat serta munajat kepada Allah.
  • Tidak menyibukkan diri dengan berguru tetapi gigih dalam menghafal dan belajar sendiri.
  • Mempunyai jadual dalam beribadat. Hanya tidur sedikit dan bangun bertahajud sehingga subuh. Solat subuh secara berjemaah, berwirid sehingga terbit matahari, solat dhuha dan belajar sehingga zuhur.
  • Sentiasa berwirid, solat dhuha dan solat tasbih. Sentiasa berpuasa sunat dan beriktikaf dalam bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan.
  • Telah mengarang 40 buah buku.
  • Menziarahi penghuni penjara pada hari raya dan berdoa agar mereka bersabar dan kembali ke pangkal jalan.

  1. Hassan Habannakah al-Maydani

  • Menghormati guru dan menziarahi mereka.
  • Usia muda digunakan untuk membaca, menelaah dan beribadat.
  • Seorang yang penyabar, bertoleransi dan memelihara ukhwah.
  • Menziarahi orang yang meninggal dunia, walimah dan orang sakit.
  • Tidak mengaut keuntungan duniawi dan tidak mengharapkan wang hasil dari dakwahnya.
  • Tidak banyak mengarang kerana lebih tertumpu kepada pengajaran.

  1. Muhammad Tahir Bin Ashur

  • Membawa pembaharuan kepada bidang pendidikan, antaranya ialah menyeru kepada penggunaan akal.
  • Banyak mengarang bagi memberikan ilmu dan menyampaikan pemikirannya.
  • Mengarang buku dari pelbagai bidang.

  1. Nasaruddin Al-Albani

  • Menekuni ilmu hadis setiap hari kecuali hari Selasa dan Jumaat bagi mencari nafkah keluarga.
  • Belajar selama 12 jam sehari dan hanya berhenti untuk solat dan makan.
  • Menegaskan bahawa ada 2 perkara untuk mengubati penyakit umat Islam hari ini iaitu pembersihan dan pendidikan.

  1. Abdul Ghani al-Daqr

  • Menulis buku berkenaan ilmu pengajian Islam, Bahasa Arab dan sejarah biografi tokoh
  • Membuat ringkasan buku, menerbitkan buku yang memerlukan penyuntingan dan penambahbaikan, buku himpunan ceramah, buku berkenaan sifat2 pendakwah dan cara berdakwah.
  • Menulis biografi Imam al-Nawawi - takwa yang tinggi, gigih menuntut ilmu, tidak tidur kecuali sudah tidak tertahan lagi dan hanya tidur sebentar dengan bersandar pada kitab dan kemudian akan tersedar semula, mengatur jam untuk belajar, banyak beribadat, banyak membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah, tidak makan harta atau makanan yang tidak diketahui sumbernya, tidak mengambil wang dari sumber ilmu dan hanya menggunakan wang dari kiriman ayahnya, bersederhana dalam berpakaian, makanan dan berbelanja, menulis dalam pelbagai bidang ilmu.

  1. Abdul Rahman Habannakah al-Maydani

  • Gigih, dalam mencari ilmu
  • Sabar dan lemah lembut
  • Berkhidmat untuk agama Islam
  • Keseluruhan hidup adalah untuk berkhidmat untuk ilmu sama ada melalui pengajian, penulisan, ceramah dan pendidikan.

  1. Mustafa Sa'id al-Kkin

  • Mengarang kitab yang menjadi buku teks pengajian di masjid dan surau
  • Membuat silibus pembelajaran dan mengajar di universiti.
  • Uslub penulisan yang terang dan mudah. Tiada perkataan yang sukar atau pelik.

  1. Said Hawwa

  • Sangat miskin ketika kecil
  • Gigih belajar
  • Banyak membaca sejak kecil
  • Apabila memegang buku, tidak akan tidur sehingga selesai membacanya.
  • Membaca al-Quran dan wirid2 selepas solat, istighfar 100x, 100 tahlil dan 100 selawat
  • Menghormati ahli ilmu sama ada orang tersebut mempunyai pandangan yang sama atau tidak.
  • Berjumpa dengan ahli ilmu apabila ada masalah yang perlu diselesaikan.
  • Giat dalam penulisan
  • Waktu itu bukan miliknya. Orang yang mahu menuntut ilmu ada hak untuk ditunaikan.
  • Mempunyai rumah yang sederhana.
  • Menjaga solat berjemaah.
  • Bagi beliau, penulisan memberikan kesan yang berpanjangan dan tersebar luas.
  • Sentiasa memberikan pesanan dan nasihat kepada ahli keluarga secara berterusan.
  • Banyak melakukan ibadat, zikir dan qiamullail.
  • Mengarang 50 buah buku dalam masa yang singkat walaupun sibuk dengan aktiviti dakwah dan ibadat. Tanda keberkatan waktunya.
  • Merupakan seorang ahli tasawuf.