Pages

Saturday, 8 March 2014

Meniti Hari Esok

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum...


Buku tulisan Prof Muhd Kamil Ibrahim ini bertajuk Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok. Saya mula membaca buku-buku tulisan Prof Muhd Kamil Ibrahim setelah membaca buku beliau yang bertajuk Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Saya sukakan cara penulisannya yang santai dan mudah difahami.

                                 Buku Prof Kamil ini lebih menekankan kehidupan pasca haji beliau.

Ada 32 bab di dalam buku ini yang mana kandungannya mengajak kita mencari erti hidup dan berusaha untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. Penulis juga bercerita berkenaan perjalanan hidup beliau sebelum ini dan bagaimana beliau akhirnya mahu menunaikan fardhu haji.

Apa yang menarik dalam buku ini adalah bagaimana beliau menyatakan bahawa bertapa banyaknya nikmat Allah yang dikurniakan kepada beliau. Ini mengajak pembaca sama-sama agar mensyukuri nikmat Allah dan redha dengan segala ketentuanNya. Penulis mengajak kita agar sentiasa berbaik sangka dan memahami konsep bahawa rezeki adalah kepunyaan Allah yang mutlak. Saya juga faham apa yang dirasai andainya apa yang kita hajati tidak tercapai namun percayalah bahawa Allah Maha Berkuasa dan berdoalah dalam setiap perkara.

Penulis juga mahu kita semua mengingati kematian. Benar, kematian akan menjemput semua makhluk yang bernyawa. Kematian orang-orang yang terdekat dengan penulis menghadirkan keinsafan kepada beliau. Bagimana keadaan kita ketika dijemput Tuhan kelak. Semestinya kita semua inginkan kesudahan yang baik.

Saya tertarik dengan kesungguhan penulis untuk mengekalkan solat secara berjemaah setiap waktu sebagaimana yang beliau amalkan ketika di Tanah Suci. Penulis juga mengajak kita semua untuk berpuasa sunat Isnin dan Khamis, solat Dhuha dan solat di sepertiga malam. Semenjak pulang dari menunaikan haji, penulis mengamalkan membaca al-Quran sekurang-kurangya 1 muka sehari berserta terjemahan.

Perjalanan PhD adalah suatu perjuangan yang memerlukan kekuatan dan ketabahan yang luar biasa. Penulis mengajak kita agar sentiasa meletakkan pergantungan kepada Allah sebagai kunci kekuatan dalaman. Saya sangat mengagumi segala usaha penulis untuk berubah menjadi insan yang lebih baik. Penulis telah melakukan banyak perubahan yang besar dalm hidup beliau. Dalam baki kehidupan yang masih ada, beliau mengharapkan agar beliau dapat meneruskan amalan baik sehingga ke akhir nafas. Kematian tidak mengira usia, hendaklah kita semua sentiasa bersedia dan meningkatkan amalan kita.

Penulis ingin kita semua melakukan ibadah dan amalan yang lebih baik dan mendapat pengajaran dari kisah beliau sendiri. Masih belum terlambat untuk kita semua memperbaiki kelemahan dan menambahkan ibadah kita. Semua kita semua sentiasa di dalam rahmat Allah S.W.T.


No comments:

Post a Comment